Mengenai myFreeview

Projek DTT

(Televisyen Terestrial Digital)

Projek DTT menawarkan siaran digital TV dengan kualiti gambar dan bunyi yang lebih baik, lebih banyak saluran percuma, akses kepada Panduan Program Elektronik (EPG - Electronic Program Guide), sarikata pelbagai bahasa dan memberikan pengalaman menonton TV berkualiti HD. Pada masa akan datang, penonton juga mempunyai akses perkhidmatan televisyen interaktif seperti membeli, menonton video atas permintaan, perkhidmatan langganan dan internet terpilih.

Mengapa perlu bertukar
ke siaran digital?

Kerajaan sedang dalam proses memindahkan sistem penyiaran analog yang sedia ada kepada siaran digital. Untuk menikmati siaran digital, anda perlu mendapatkan alat penerima, iaitu dekoder MYTV (jenis DVB-T2) yang perlu disambungkan kepada TV anda dan aerial UHF. Selain itu, anda juga boleh menikmati siaran digital dengan membeli TV digital (IDTV) yang dilengkapi dengan penala digital (built-in digital tuner).

Siaran digital myFreeview

myFreeview adalah jenama bagi perkhidmatan DTT untuk Siaran Televisyen Digital Malaysia yang menawarkan semua siaran TV dan radio sedia ada yang popular dengan percuma tanpa sebarang yuran langganan.

myFreeview Sosial

Loading...

FAQ / Soalan-Soalan Lazim

Adakah saya perlukan set TV baharu untuk menerima siaran digital myFreeview?

• Set TV lama sudah mencukupi asalkan ia mempunyai sambungan masuk AV/HDMI yang boleh disambungkan kepada dekoder MYTV menggunakan kabel AV/HDMI.

• Walaubagaimanapun, pengguna ada pilihan untuk membeli set TV baharu yang mempunyai label/cop DTTV dengan pengesahan SIRIM yang telah dilengkapi dengan penala digital (built-in digital tuner) atau dikenali sebagai IDTV (Integrated Digital Television) dan boleh menerima terus siaran digital myFreeview tanpa dekoder MYTV.

Apakah kelebihan siaran digital myFreeview?

• Imej lebih tajam dan jelas dengan resolusi lebih tinggi.

• Bunyi yang berkualiti tinggi.

• Percuma - tanpa bayaran bulanan.

• Perkhidmatan TV interaktif seperti membeli-belah dari rumah dan video atas permintaan boleh didapati melalui sambungan internet pada masa akan datang.

• Penambahan perkhidmatan dan saluran TV pada masa akan datang.

• Kelebihan merakam program pada masa akan datang (hanya dengan dekoder MYTV yang dijual di pasaran).

Adakah saya boleh menerima siaran digital myFreeview sekiranya saya tinggal di kondo/pangsapuri?

Perkhidmatan myFreeview boleh diterima apabila aerial dalaman/aerial luaran UHF disambungkan kepada IDTV ataupun TV sedia ada yang disambungkan dengan dekoder MYTV. Pihak pengurusan kondo/pangsapuri juga boleh memasang Sistem TV Antena Utama (MATV - Master Antenna TV System) untuk menerima siaran digital myFreeview.

Apakah perbezaan menonton melalui Astro dan HyppTV?

Anda boleh menikmati saluran TV dan radio popular di Malaysia secara percuma tanpa sebarang yuran langganan untuk perkhidmatan myFreeview. Ia juga merupakan satu pilihan terbaik sekiranya anda tidak mahu terikat dengan pakej langganan. Walaubagaimanapun program yang sedia ada tidak sebanyak berbanding perkhidmatan TV berbayar seperti Astro dan HyppTV. myFreeview akan menambah lebih banyak program pada masa hadapan.

Bolehkah saya menggunakan dekoder MYTV dan dekoder ASTRO pada TV yang sama?

Boleh, asalkan TV anda mempunyai terminal masuk AV/HDMI yang mencukupi untuk kedua-dua dekoder.

Berapakah kos bagi perkhidmatan siaran digital myFreeview?

Siaran digital myFreeview adalah PERCUMA dan tanpa sebarang kos tersembunyi yang lain. Anda hanya perlu membayar sekali sahaja untuk membeli IDTV baru atau dekoder MYTV dan membayar yuran pemasangan sekiranya anda perlukan bantuan pemasangan aerial luaran atau perkhidmatan penyelenggaraan.